Rakaman lapisan ganda DVD

Rakaman lapisan ganda membolehkan cakera DVD-R dan DVD+R menyimpan lebih banyak data, sehingga 8.5 gigabait sebelah dalam sekeping cakera, berbanding 4.7 gigabait untuk cakera berlapisan tunggal. DVD-R DL dimajukan untuk Forum DVD oleh Pioneer Corporation, DVD+R DL dimajukan untuk Perikatan DVD+RW oleh Philips dan Mitsubishi Kagaku Media (MKM).[9]

Sekeping cakera lapisan ganda berbeza daripada DVD biasa kerana ada memakai lapisan fizikal kedua dalam cakera itu sendiri. Pemacu yang berkeupayaan membaca lapisan ganda mencapai lapisan kedua dengan memancarkan laser melalui lapisan lutcahaya yang pertama. Mekanisme menukar lapisan dalam sesetengah pemain DVD mungkin menunjukkan satu jeda selama dua saat, menyebabkan beberapa penonton risau jika cakera lapisan ganda mereka rosak, maka studio-studio mula memaparkan mesej yang menerangkan kesan berjeda lapisan ganda pada semua pembungkusan cakera lapisan ganda.

Cakera DVD boleh rakam yang menyokong teknologi ini adalah serasi ke belakang dengan beberapa pemain DVD dan pemacu DVD-ROM sedia ada.[10] Kebanyakan perakam DVD terkini menyokong teknologi lapisan ganda, dan harganya juga lebih kurang sama dengan pemacu lapisan tunggal, namun cakera kosongnya masih lebih mahal. Kelajuan rakaman yang dicapai media lapisan ganda masih lebih rendah dari media lapisan tunggal.